Pintu Tsaqafah

Diriwayatkan daripada Ibnu Azlan, sewaktu seminar pertama diadakan – Ibadah Pesakit – terdapat satu muhasabah daripada peserta. Pada waktu tersebut peserta seminar terdiri daripada pelajar perubatan dan pengajian Islam. Muhasabah mereka berkisar kandungan pengisian seminar yang dirasakan kurang lengkap dan tidak memuaskan hati.
DSC03415
Sesiapa yang memiliki buku Seminar Ibadah pesakit pasti perasan, kandungan buku tersebut kebanyakannya menyentuh persoalan tanpa jawapan. Malah sewaktu pembentangan juga hanya diterangkan beberapa perkara sahaja, itu pun tidak mendalam. Maka memang tidak puas pengisian dalam seminar tersebut.

Maka berkata salah seorang pengasas seminar PERUBATAN ketika itu, “Seminar bukan tempat mencari ilmu. Ia hanya pintu – pembuka minda, pencetus isu – kepada usaha-usaha selanjutnya yang berterusan terhadap tajuk yang disampaikan dalam seminar.”

Kalau dilihat pengisian lain dalam seminar kali pertama itu pun lebih banyak menjurus kepada pendedahan isu semasa – ibadah pesakit yang tidak dijaga – di hospital, malah dimulakan dengan kajian lapangan statistik pesakit yang tidak solat, diakhiri dengan resolusi langkah merawat sikap masyarakat tersebut.

Maka apabila mendengar soalan-soalan daripada ahli – dalam seminar, atau di mana-mana – berkenaan tajuk yang telah dibincangkan dalam seminar terdahulu, seperti hukum prosedur tertentu pada bulan puasa, definisi dan integrasi perubatan Islam, perbidanan dan jenazah, dapat disimpulkan bahawa seminar yang lama gagal dihangatkan hingga sekarang. Apinya mungkin telah padam sebaik sahaja seminar berakhir.

Dalam perkara ini saya memuji usaha PERUBATAN Cawangan Iskandariah yang kerap dilihat mengeluarkan iklan Seminar Ibadah Pesakit, serta kejayaan PERUBATAN menjadikan hari Isnin sebagai Hari Profesionalisme, menunjukkan resolusi yang telah dibina dalam seminar sedikit sebanyak ada kesinambungannya. (Alumni apa cerita? =P)
DSC03414
Saya sebenarnya mahu mengajak ahli supaya menjadikan seminar sebagai pencetus perubahan, pemberi idea, mendedahkan isu baru yang kita tidak tahu selama ini, lalu dilaksanakan dalam aktiviti selepas seminar. Tidak bermakna persatuan wajib mengadakan program – baru – yang mengetengahkan kupasan tajuk seminar dengan lebih mendalam, tapi sebenarnya lebih baik sahaja dimanfaatkan medium-medium sedia ada.

Kelas tafaquh boleh diselit tajuk ibadah pesakit sebulan sekali. Naqib naqibah boleh bawa tajuk karier perubatan atau kekeliruan perubatan Islam sebagai diskusi santai selepas silibus smart circle. Takkan mahu main bola dan bercerita Bait Muslim setiap kali liqa’? Paling penting, ahli sendiri perlu menerapkan unsur profesional Muslim 5 Star dalam proses pembelajaran di universiti serta menanam minat dari sekarang untuk memilih bidang yang akan diceburi nanti.
DSC03411
Pada masa akan datang juga, saya berharap agar seminar boleh mengupas isu mengikut trend semasa perubatan sekarang, seperti home birth, anti-vaccination, gene manipulation, disaster medicine, supaya masyarakat perubatan tahu isu tersebut – bukan sahaja dari pihak perubatan tapi pandangan pihak yang terlibat sekali – seterusnya mencambahkan lebih banyak perbincangan dan diskusi mendalam selepas seminar.

Sekilas pandang nampak mudah, tapi jika diselami betul-betul, ia bukan semudah yang disangka. Ada banyak faktor yang mempengaruhi dari sudut sosial, agama, budaya serta kefahaman orang awam. Kalau cabaran ostad ostajah memahamkan masyarakat tentang Islam yang sebenar, maka menjadi tanggungjawab pengamal kesihatan menerangkan konsep dan cara sihat yang sebenar.

Seminar merupakan pintu kepada tsaqafah yang berterusan. Kita buka dengan promosi gempak – pengisi mantap, poster cantik, gambar ramai-ramai, selca instagram – sebagai pencetus suasana kemudian kita teruskan langkah masuk dengan pengisian yang lebih mendalam pada hari-hari seterusnya.

IKLAN
Selain Tonton (Media Prima) dan MyKlik (RTM), streaming rasmi terbaru dijumpai ialah MediaHijrah (TVAlHijrah) dan AstroOnTheGo cuma masalahnya mereka berdua ni berbayar =(

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain