Slot ini dirasmikan dengan tajuk Malihah, gandingan mantap Sherlie Merlis, Yus Waisar dan Adik Yuyun.
Jujurnya perasaan bercampur baur ketika menonton cerita ini. Drama Malihah bukanlah terlalu buruk untuk dikeji, tetap mempunyai sisi-sisi yang menyebabkan kita rasa “wow”. Namun begitu drama ini mungkin terlalu mencuba untuk jadi melodrama yang dipenuhi babak-babak sebak yang memendam air mata.
Premisnya mudah dan tipikal namun mempunyai potensi. Cerita kasih seorang ibu terhadap anak yang cacat pendengaran. Malangnya nasib si anak menjadi bahan mainan penduduk kampung, dijadikan kambing hitam tempat meletak segala kesalahan. Derita ibu bertambah apabila Malihah diculik, berhari-hari menanti tanpa khabar berita. Penghujungnya sama seperti drama tipikal Melayu, berakhir dengan kematian.
Kematian yang menghidupkan.
Sherlie Merlis dan Yus Waisar memang veteran yang tidak perlu dinafikan bakat mereka. Adik Yuyun ini pula mungkin nama yang perlu diberi perhatian selepas ini. Penulisan dialog pula mempunyai aura tersendiri walaupun mungkin bagi sesetengah orang kedengaran janggal apabila dituturkan.
Namun begitu ada babak yang nampak awkward untuk sebuah drama walaupun mungkin tidak bagi sebuah teater. Konflik yang menimpa pula kelihatan agak padat untuk sebuah drama satu setengah jam.
Bagi sebuah drama bercorak sebegini, saya sentiasa mengimpikan garapan cerita yang menonjolkan kebangkitan watak yang mempunyai kekurangan dan keterbatasan, melangkah setapak demi setapak menuju kejayaan sama seperti manusia normal yang lain.
Malihah mungkin telah merealisasikan suku impian tersebut. Tahniah.
TONTON MALIHAH ONLINE
Tonton.Com.My (memerlukan pendaftaran)