Selesai beli dan baca setelah menonton ulasan Ustaz Hasrizal.
Penulisan berani dan berterus terang, seperti yang Akhi Fairuz Al-Jengkawi sentiasa kongsikan di laman sosial beliau.
Adakah ebook ini bermanfaat? Mungkin. Saya akan bagi markah 5/10. Sebagaimana ebook lain di pasaran, buku ini juga sekadar menceritakan sesuatu yang sepatutnya menjadi common sense tapi tidak lagi common, disebabkan terhijab dengan stigma atau denial bahawa pendidikan seksualiti itu sesuatu yang perlu.
Saya suka dengan pendekatan 5 dimensi – fizikal, kognitif, sosial, emosi dan spiritual – yang diketengahkan agar ibu bapa boleh menilai dan terbuka minda bahawa pendidikan seksualiti adalah sesuatu yang holistik dan menyeluruh. Suka juga dengan contoh-contoh situasi dialog ibu bapa bersama anak yang jelas menunjukkan kepentingan didikan sejak kecil serta pembinaan trust antara dua pihak tersebut agar pendidikan seksualiti dapat berjalan seiring dengan perkembangan usia anak-anak.
Tapi akhirnya kesimpulannya tulisan teori memang mudah tapi praktikalnya tidak. Lebih baik dibuang “Mudahnya…” dan teruskan sahaja “Formula Mengajar…” Kata kuncinya bukan mudah atau tidak tapi seberapa bersedia ibu bapa untuk mengajar sesuatu yang dianggap taboo dalam masyarakat kepada anak-anak.
Waktu sekolah menengah, rakan sekelas pernah bertanya sewaktu subjek Sains, “Kalau penis tiada tulang, bagaimana ia boleh jadi keras?” Guru kami pada ketika itu walaupun menjawab soalan tersebut, awalnya muka merah padam dan teragak-agak. Sementelahan kami sekolah agama tudung labuh tiap petang baca Ma’thurat. Soalan ringkas daripada seorang remaja tapi membuka ruang untuk persoalan lain yang tak terjangkau oleh persepsi orang dewasa.
Bersedia atau tidak, langkah pertama boleh beli dan cuba baca sendiri
Boleh dapatkan ebook ini: Mudahnya Mengajar Pendidikan Seksualiti
Amaran: Buku ini terlalu berterus terang dan mengandungi bahan yang mungkin mengganggu perasaan ibu bapa yang membacanya.