“Hafiz, EMT call; incoming RTA.18 tahun, lelaki. GCS 7. ETA 10 minit.” Dressa dari depan masuk memberitahu. Kami semua baru nak tidur tunggu Subuh lepas layan pesakit datang dengan komplen tak masuk akal tengah-tengah malam.
“Kak, prepare katil. Set intubation sekali.” Saya pergi zon merah maklumkan kakak baju putih sebelum cari apron plastik dari bilik stor.
Tak sampai 10 minit, pintu zon merah dibuka. Stretcher masuk bawa lelaki muda terbaring dengan High Flow Mask di muka.
“18 year old. Unsure mechanism of injury. Passer-by jumpa sebab nampak motor tengah jalan. Ada wound di kepala.” Dressa yang bertugas ambulans bagi cerita pendek. Luka di kepala sudah dibalut kemas.
“One… Two… Three!” Ramai-ramai pindah pesakit dari stretcher ke katil.
“Adik, buka mata!” Dada ditekan-tekan sekuat mungkin. Tiada respon. Darah penuh mengalir keluar dari mulut dan hidung.
“GCS now?” Kakak baju putih tanya nak tulis dalam rekod.
“E1 blank stare, V2 gurgling sound…”
“M3?” Saya jawab bila nampak tangan bergerak masa masukkan jarum. Sebotol salina normal dibuka laju.
“Kita intubate sahajalah for airway protection. Suction dah on?” Saya beralih ke kedudukan kepala.
Katil ditinggikan. Laringoskop video C-MAC dicapai. Darah dari mulut disedut keluar.
“Heda, aku buka cervical collar. Nanti kau manual inline.” Berjaga-jaga kalau ada kecederaan pada tulang leher tidaklah jadi semakin teruk.
“Bougie.” Tiub saiz 7.5 dimasukkan ke dalam trakea dengan wayar plastik sebagai panduan. Lancar.
“Anchor 20cm.” Kaf pada tiub digelembung udara tak bocor keluar.
Tengah pusing-pusing ikat tiub supaya kukuh tak beralih, tiba-tiba nampak jeli putih mengalir keluar dari balutan kepala.
Saya pandang Heda, Heda pandang saya.
“Otak?”
Pagi itu balik rumah dengan rasa tak ada selera hingga ke petang. Polis datang sekejap ambil maklumat supaya boleh cari pihak keluarga tapi yang ada cuma alamat pada kad pengenalan.
Dulu pernah orang tanya, naik kapcai pun pakai helmet fullface Shoei harga RM3 ribu??
Tuan puan sekalian. Tak kiralah motosikal kecil atau motosikal besar, 125cc atau 1000cc, superbike atau skuter, bila kemalangan kepala yang sama juga akan berkecai.
Beli helmet berkualiti dan pakai dengan kemas. Beli jaket pun kena pakai dengan betul. Biasakan pakai kasut kalau mampu. Pelaburan keselamatan itu lebih utama sebelum melabur beli motosikal ribu-ribu.
Malang itu sentiasa tak berbau. Sekelip mata sahaja kita akan pergi tak kembali.