Melayu Memang Tidak Layak Membaca Novel

Novel – menurut penerbit – adalah karya fiksyen asli yang ditaip sebanyak 400 muka surat kertas A4 menggunakan font Times New Roman saiz 12 dan langkau dua baris.

Saya memang suka membaca novel Bahasa Melayu walaupun orang kata novel Melayu klise, tidak berkualiti, gedik, khayalan dan pelbagai tohmahan lain. Masih ingat lagi, novel Alaf 21 tidak wujud di perpustakaan sekolah maka yang dipinjam pada waktu itu ialah hasil tulisan Abdullah Hussain, Arena Wati, Keris Mas, A. Samad Said dan beberapa penulis lain yang saya sudah lupa nama mereka.

Kemudian barulah berjinak dengan Ramlee Awang Murshid yang popular dengan genre thriller, Norhayati Berahim yang selalu bercerita tentang perempuan, HM Tuah Iskandar yang tulis novel tapi penuh ceramah motivasi, Sharifah Abu Salem yang seolah menulis drama dan beberapa novel lain yang saya minat sebab kekuatan sastera dan cerita mereka. Penulis baru selepas itu kurang diminati kerana plot selalunya sama dan bertemakan kahwin kontrak.

Tsunami novel kahwin kontrak ini dipercayai berpunca daripada gelombang hallyu Full House – hero dan heroin tinggal bersama kemudian jatuh cinta. Tambah pula kesedaran agama yang tinggi dalam kalangan penulis muda yang berpegang teguh cinta sebelum nikah adalah haram menyebabkan mereka cuba menghalalkan dahulu hubungan karakter novel mereka. Namun begitu, formula ini sebenarnya bahaya, kerana tiada batasan dalam hubungan suami isteri.

Akhirnya dunia penulisan novel Melayu dipenuhi novel cabul. Luarannya nampak seperti klasifikasi Umum namun kandungannya dipenuhi adegan bercium, sentuhan mesra dan babak berahi antara suami isteri. Malangnya, novel sebegini sangat laku di pasaran.

Lebih malang lagi apabila novel-novel tersebut dijadikan adaptasi skrin, sekaligus mempromosi jualan novel tersebut kepada masyarakat Melayu. Umumnya, adegan panas dalam novel adalah lebih banyak daripada apa yang ditayangkan pada skrin. Kalau anime mungkin sudah dikategorikan sebagai soft porn atau ecchi.
pesta-buku
Seorang perempuan Melayu pernah menulis di Facebook, kalau mahu bahagia dan sweet dengan suami, mesti dirogol terlebih dahulu. Mungkin ini hasil didikan Wedding Breaker (Ariana Rose) dan Kasih Yang Suci (Nora Elena). Novel kadang-kadang mempengaruhi pembaca untuk mencuba resipi baru atau melawat tempat menarik yang dijadikan latar, namun kisah hero dan heroin lebih banyak memberi kesan untuk ditiru.

Terbaru, Dracula Untold menerima kritikan Melayu kerana Sultan Muhammad al-Fatih digambarkan kejam dan tidak berperikemanusiaan. Tidak kurang juga ada yang mempersoalkan kebenaran fakta sejarah dalam cerita tersebut. Dracula Untold – prequel kepada Dracula dalam novel tulisan Bram Stoker – juga dikaitkan dengan teori konspirasi dan brainwashing oleh pihak barat tentang sejarah Islam.

Ya, tidak dinafikan novel – atau mana-mana bentuk penulisan kreatif – merupakan senjata untuk mengubah pemikiran masyarakat. Hikayat Faridah Hanum, Anak Mat Lela Gila, Putera Gunung Tahan, dan karya-karya lain merupakan salah satu wasilah perjuangan kemerdekaan negara. Novel Imam oleh Abdullah Hussain serta novel-novel Faisal Tehrani – yang pernah saya baca – juga banyak menyerapkan unsur kontroversi dalam agama. Tujuannya adalah membasuh fikiran Melayu dengan idea dan konsep baru.
pembaca-novel
Namun begitu, pembaca Melayu mesti tahu apa itu fiksyen, apa itu fakta. Pernah suatu ketika, saya bertemu seorang perempuan Melayu yang menjadikan novel sebagai hujah tindakan beliau. Ini adalah satu kekeliruan. Novel bukan fakta dan tidak seharusnya dijadikan rujukan keilmuan dan penghujahan, melainkan menjadi pencetus untuk mencari kebenaran. Dulu, novel-novel seperti 1511, Arjuna Hati dan Enrique Mengundang Jauh, sedikit sebanyak menimbulkan sudut pandang baru dalam diri saya tentang sejarah.

Atas dasar ini juga, Abdul Latip Talib yang terkenal dengan novel sejarah Islam pernah dikritik kesahihan dialog dan babak dalam novel-novel beliau kerana melibatkan tutur bicara Nabi Muhammad SAW. Ini disebabkan novel telah melalui proses pengindahan melalui penggunaan bahasa, ayat-ayat berbunga dan dialog-dialog romantis yang direka-reka sedangkan kata-kata Nabi merupakan wahyu. Wahyu adalah fakta, bukan pendustaan.

Jika Melayu tidak mampu membezakan fakta dan fiksyen – baik dan buruk – realiti dan khayalan, maka Melayu tidak layak membaca novel dan mendapat manfaat daripadanya.

Sebagai kesimpulan, penulis mestilah bertanggungjawab terhadap apa yang mereka tulis. Sekalipun tidak mampu memberi faedah keilmuan ataupun mencetuskan perubahan, cukuplah sekiranya penulisan kita menjadi rujukan penggunaan Bahasa Melayu yang betul dan berkesan.

p/s: Agaknya novel Melayu apa yang layak dibaca sekarang? Komen di bawah, balik Malaysia nanti saya nak cari.

LINK BERMANFAAT
10 life hacks that might simplify your life. Is #7 pure genius or what?

  1. Mohd, Ainon. “Trend Terbaru: Penulis-Penulis Perempuan Menguasai Pasaran Novel Cabul dalam Bahasa Melayu.” Universiti Terbuka PTS. 12 Nov 2011. Web. 8 Oct 2014.
  2. Abdul Rahman, Azzah. “Darah Muda dan Karya Patuh Syariah.” Pena Trovelista. 20 Nov 2011. Web. 8 Oct 2014.
  3. Mayangsari, Alicia Amanda. Pengaruh Novel Terhadap Gaya Hidup Remaja. Jakarta: SMA Labschool Jakarta, 2010. Print.
  4. Masariah, Mispari, Johara Abdul Wahab and Ridzuan Hasan. “Bab 8: Perjuangan Nasionalisme Melalui Mata Pena.” Sejarah Tingkatan Dua. Dewan Bahasa & Pustaka, 2009. Print.
  5. Zaman, Shibli. “How the Muslims Killed Dracula.” SuhaibWebb.Com. 29 Nov 2010. Web. 8 Oct 2014.
  6. Abdul Jamil, Hasrizal. “Kritikan Novel Sejarah Islam.” Saifulislam.Com. Web. 8 Oct 2014.
  7. Zainal Abidin, Dr Mohd Asri. “Novel Abdul Latip Talib Jangan Dibaca Bagi Mereka Yang Kurang Pengetahuan.” Pertubuhan Kebajikan al-Qayyim Malaysia. Kuliah Mingguan. Bukit Mertajam, Pulau Pinang. 8 Oct 2014.
  8. Sejak Bila Perogol Adalah Ciri Lelaki Idaman Gadis Ni?” Cursing Malay . 25 Feb 2014. Web. 8 Oct 2014.
  9. Makalah Pengaruh Novel Terhadap Remaja.” 23 Feb 2012. Web. 8 Oct 2014.

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

2 thoughts on “Melayu Memang Tidak Layak Membaca Novel

  1. wow. amazing.. this is superb. penuh dengan content yang padat yet siap ada rujukan lagi.. keep it up bro.

  2. Saya suka terbitan Jemari Seni. Bahasa dan jalan ceritanya baik dan watak-wataknya dicipta seperti kita yang hidup di dunia realiti. Sekalipun fiksyen tetapi terbitan ini masih menjaga bahasa dan ‘adab pergaulan’ watak dengan baik :)

Komen di sini, bukan di tempat lain