Bunuh Diri Minum Clorox

“Tadi kamu minum apa?” Kali ini masuk seorang dewasa dengan komplen minum racun nak bunuh diri.

“Clorox.”

“Clorox yang ini ke?” Gambar peluntur warna biru ditunjuk.

“Aha Clorox basuh baju.” Dia angguk mengesahkan jenama dan rupa peluntur tersebut. Pengesahan apa yang diminum penting supaya kita boleh tahu apa bahan kimia aktif dan kesan bila diminum atau terkena badan. Boleh juga tengok kalau ada antidot.

Kandungan aktif Clorox – natrium hipoklorit.

“Kenapa kamu minum Clorox? Tersilap sebab letak dalam botol mineral ke apa?” Kadang-kadang warna jernih letak dalam botol mineral boleh sahaja orang salah sangka air mineral. Kalau dahaga, balik rumah rembat sahajalah minuman atas meja.

“Bukan. Saya stress, Dokter. Orang positif boleh balik rumah sebar COVID, tapi orang negatif kena kuarantin kat hotel 14 hari. Semua tempat zon merah tapi tak boleh nak jalan rentas negeri. Saya dah gian nak ride naik motor pergi Siam cari tomyam.”

Begitulah semua orang stress musim COVID tapi tak semua boleh tahan stress tersebut. Sebab kita bukan dalam satu kapal yang sama.

“Kamu ada dengar suara ke? Suara sumbang suruh kamu minum racun atau Clorox?”

“Tak ada, Dokter.”

“Hmm berapa banyak kamu minum?”

“Satu cawan.”

Berdasarkan Google, dos bahaya untuk natrium hipoklorit dengan kepekatan 6% adalah 200 mililiter. Formula Clorox sekarang guna kepekatan 7.5%.

“Cawan besar mana? Tudung botol Clorox?”

“Aah satu tudung botol.”

Ingat lagi dulu komik Detektif Conan pernah ajar, jangan suka-suka campur peluntur. Sesetengah peluntur guna ammonia, yang bertindak balas dengan natrium hipoklorit dalam Clorox jadi gas toksik kloramin atau lagi bahaya, cecair hidrazin. Malaysia ada guna peluntur ammonia? Belum jumpa.

“Kenapa tak minum habis satu botol besar?”

“Tak sedap, rasa macam pahit masin.” Sengih.

“Lain kali nak sedap suruh bini buat teh ping. Ada munasabah minum Clorox.” Dia cuma sengih-sengih sambil tahan sakit hosmen cucuk ambil darah.

Minum Clorox bukan benda lawak tuan puan. Meme atau sticker Whatsapp minum Clorox asalnya bermaksud makian “go kill yourself”, inspirasi gelap daripada kes bunuh diri Amanda Todd pada tahun 2012.

Beliau berkali-kali cuba bunuh diri dengan minum Clorox tapi terselamat kerana sempat dikejarkan ke hospital. Akhirnya Amanda menggantung dirinya sendiri di rumah. Sebab apa beliau putus asa dengan kehidupan? Macam biasa, tabiat buli dan penderaan seksual orang di sekeliling.

Salam Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia. Jemput ke hospital kita sembang-sembang apa yang boleh sembang.


  1. Tequila Sunset. “Bleach Drinking.” Know Your Meme. Web. Aug 2016.
  2. “Suicide of Amanda Todd.” Wikipedia. Web.
  3. Image from Kementerian Kesihatan Malaysia. Facebook. 10 Aug 2021.

Telah disiarkan melalui Facebook

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

1 thought on “Bunuh Diri Minum Clorox

Komen di sini, bukan di tempat lain