Benarkah Hudud Magik Ajaib Penyelesai Masalah?

Perogol itu akhirnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, lalu menangis hibalah ibu bapa mangsa kanak-kanak, “12 tahun nanti umur anak kami tak sampai pun 20 tahun. Boleh bayangkan tak trauma yang bakal dia hadapi?” – umur 20 tahun berdepan dengan realiti lelaki yang merogol dirinya sedang bebas berkeliaran.

Lalu berbunyilah bisik-bisik kaki Islamis di belakang, “Kalaulah hudud dilaksanakan~”


Saya terbayang situasi di atas sewaktu menonton filem ini kerana polemik hudud sebagai pencegahan jenayah begitu berleluasa sekarang. Lebih-lebih lagi setelah akhbar menayangkan cerita-cerita rogol dan buang bayi yang tidak kurang kejamnya.

Namun begitu, saya tidak perlu Google jauh-jauh untuk mengetahui adakah rogol termasuk dalam hudud.

APA ITU HUDUD?

Setakat pengetahuan Syariah Islamiah yang dipelajari sewaktu Menengah Tinggi dahulu sudah cukup untuk faham bahawa hudud merupakan hukuman yang telah ditetapkan oleh ALLAH berdasarkan dalil-dalil yang jelas. Contohnya zina, qazaf, mencuri, minum arak, dan murtad.

Takzir pula adalah hukuman yang ALLAH tidak tetapkan, lantas diserahkan kembali kepada manusia sendiri untuk menentukan apakah kesalahan dan apakah hukuman berkaitan. Contohnya pelbagai jenis saman yang wujud sekarang. Beberapa kesalahan hudud yang tidak cukup syarat juga kadang-kadang dimasukkan bawah takzir, supaya penjenayah tidak lepas lari.
undang-undang-jenayah-islam-paizah-ismail

ADAKAH ROGOL TERMASUK DALAM HUDUD?

Saya tidak nafikan mungkin ada perbahasan lanjut daripada para ulama tentang kategori rogol namun definisi di atas adalah asas yang semua umat Islam mesti tahu. Sekiranya rogol disama taraf dengan zina, ia bakal membuka banyak perbahasan baru.

Adakah mangsa rogol yang menuduh seseorang merogolnya dan gagal membawa saksi bakal dikenakan qazaf (menuduh seseorang berzina)?
Apakah sebab atau persamaan yang membawa kepada sama taraf tersebut? Hubungan seks lelaki perempuan?
Kenapa tidak seks gay dan lesbian juga dikategorikan zina? Mereka pun suka sama suka.

Apatah lagi mencari 4 orang saksi yang adil adalah amat mustahil. Sekiranya wujud saksi-saksi tersebut, bakal berlaku pertikaian tentang sifat adil yang ada pada diri mereka lantaran tidak mencegah perbuatan rogol tersebut. Akhirnya hukuman rogol tetap disabitkan melalui saluran takzir, bukan hudud.

Maka, dari manakah datangnya claim hudud bakal mencegah jenayah rogol? Takzir tidak ubah sama seperti apa yang kita sedang amalkan selama ini, adakah manusia gerun daripada melakukannya?

RELEVANKAH PELAKSANAAN HUDUD PADA ZAMAN SEKARANG?

Pelaksanaan hudud adalah bukan masalah saya selaku rakyat biasa kerana ia adalah tanggungjawab pemerintah. Kalau dilaksanakan ucap AlhamduliLLAH. Kalau tidak dilaksanakan maka pemimpin yang menanggungnya.

Orang awam selaku rakyat biasa diheret sama dalam polemik hudud semata-mata kerana permainan politik – PAS, UMNO, DAP, Gerakan, MCA mahupun ISMA. Alasannya, jenayah yang berlaku sekarang melibatkan keselamatan rakyat dan hudud adalah ubat penawar yang ALLAH berikan kepada umat Islam.

Claim ini adalah tidak berasas dan sangat bahaya, bakal membawa fitnah setelah hudud dilaksanakan. Ibarat claim solat mencegah daripada melakukan kemungkaran; membuka persoalan kenapa masih solat dan melakukan maksiat? Kaki Islamis akan spin, solat mereka tidak sempurna dan tidak khusyuk, semata-mata ritual adat. Saya pulangkan kembali buah keras mereka dalam persoalan hudud. Formula solat sempurna dan khusyuk yang bertimbun di pasaran, asasnya berbalik kepada taqwa daripada pelakunya.

Selaku golongan yang faham hudud merupakan hukuman daripada ALLAH, adil dan saksama, bertujuan mendidik bukan menghukum, persoalan yang patut ditimbulkan bukan “Relevankah hudud pada masa sekarang?” tapi “Benarkah hudud magik ajaib penyelesai segala masalah jenayah?”

Atau sebenarnya, ada persoalan lain yang lebih penting daripada hudud?

MESTI KLIK
Bila kali terakhir anda berjalan-jalan keluar rumah tanpa perlu risau apa-apa?

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain