“VTE score?“
“3 – caesar and blood loss.“
Tiba-tiba sahaja petang itu SP merajinkan diri membuat bulatan gembira sebelum pulang ke rumah. Mujur cuma ada 1 kes pasca-kaisar di HDU wad bersalin kalau tak, terkial-kial juga mahu membentang. Maklumlah, hosmen zaman sekarang malas reviu pesakit.
“Puan, disebabkan puan baru sahaja menjalani pembedahan, jadi aliran darah tidak begitu baik. Ada risiko untuk darah beku di bahagian kaki. Biasanya kami akan bagi ubat cair darah untuk elak perkara ini berlaku.”
“Body weight?” SP pandang kami sebelum mengira pilihan antibeku dan dos yang sesuai diberikan.
“43kg boss.“
“Begini ya puan, berat puan kurang daripada 50kg, jadi kami cuma ada pilihan ubat Clexane. Ubat ini ada unsur tak halal, tapi fatwa kebangsaan memang hukumnya harus digunakan.” Mantap betul SP memberi penerangan hukum siap guna nama majlis fatwa. Mungkin hasil tarbiah tahaluf siyasi dengan PAS dulu.
“Kalau puan masih ragu-ragu, ‘ostat’ ini boleh bincang lagi dengan puan nanti,” aku terpinga-pinga bila SP tepuk bahu aku isyarat inilah-ostat-yang-dimaksudkan. Zalim betul gelaran yang diberikan, aku sembahyang pun lintang pukang.
“Betul kan apa I cakap tadi?” Semua mata memandang aku termasuk pesakit di hadapan kami. Rasa seperti seluruh dunia dan isinya diletak atas bahu, berat sungguh mahu menjawab.
Aku cuma angguk, membodek SP. Tak perlu panjangkan perbahasan yang tak perlu. Untung-untung dapat ekstra markah penilaian.
Beredar dari katil pesakit tersebut, SP tanya lagi soalan, “So Hafiz, how do you define ostat actually? Pakai kopiah ada janggut dikira ostat ke?”
“Err…” Soalan mudah tapi jawapan payah. Sebab semua orang acah alim bagi tazkirah sikit dah panggil ostat ostajah.
“He also dont know la boss,” MO menyampuk melihat aku terdiam lama memikirkan jawapan. Lalu soalan itu pergi bersama gelak ketawa walaupun tidak hilang dari fikiran.
Telah disiarkan melalui Facebook