Lambaian di Syurga

4 year old girl, we’re treating as pneumonia. Underlying microcephaly…” Sekilas aku dengar serahan tugas eMO UD44 Klinik Kesihatan kepada eMO UD44 Jabatan Kecemasan.

Microcephaly. Memang jelas nampak kepala bayi kecil daripada biasa. Pulse oximeter dipasang di ibu jari kanan.

“Pergi klinik tadi kenapa mak?”

“Demam dah dua hari.” SPO2 98%. Pulse 111.

“Ada menggigil?”

“Pagi tadi ada sekali. Tangan dia bergegar.”

Sesekali aku nampak kedua belah tangan tersentak beberapa ketika.

“Dia menggigil atau sawan? Mata ada naik ke atas?”

“Tak ada. Tapi dia memang ada sawan. Makan ubat.”

Buku kanak-kanak warna merah jambu dibelek. Underlying microcephaly with lissencephaly. Kecacatan otak kekal. Left intraventricular hemorrhage with severe communicating hydrocephalus. Epilepsy on Epilim. Keluar masuk hospital beberapa kali kerana sawan dan jangkitan paru-paru.

“Anak ke berapa, mak?”

“Anak angkat.”

Terkedu.

Ini bukan anak yang kau ambil bela dua tiga tahun barulah oh, ada kecacatan otak rupanya. Ini anak yang sejak lahir kau tahu dia tak mungkin jadi normal macam anak-anak yang lain. Ini anak yang kau tahu sejak dulu lagi akan ada banyak masalah kesihatan. Ini anak yang kau tahu mungkin tak akan bersama kau untuk waktu yang lama.

Tapi apa yang kau buat?

Kau ambil bela tatang macam anak sendiri. Turun naik pejabat daftarkan anak angkat. Keluar masuk hospital setiap tiga bulan. Tak tidur malam jaga dengan penuh kasih sayang.

Aku tak tahu kenapa kau buat semua ini.

Adakah ini anak pendarahan otak organik yang akan melambai kau di syurga nanti?

Telah disiarkan melalui Facebook

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain