Baby Menangis Tak Berhenti

Makhluk paling susah nak diagnos adalah golongan baby. Lapar dia menangis, dahaga pun dia menangis. Sesak nafas dia menangis, sakit perut pun dia menangis. Patah tulang lagilah dia menangis. Lagi-lagi nak cari perhatian pun dia menangis.

Malam itu seorang emak datang Jabatan Kecemasan disebabkan baby dua bulan menangis tak henti-henti sejak pukul tujuh sampai pukul sebelas malam.

“Dia ada demam, badan rasa panas hangat menggigil?”

“Tak ada doktor.”

“Ada batuk, hingus, muntah, berak cirit, sawan atau nafas nampak laju?” Emak geleng kepala.

Sudah bagi susu, tukar lampin, dukung dan bedung dipujuk masih tak berhenti menangis. Emak dah buntu tak ada idea akhirnya cari doktor di hospital.

“Tak apa. Letak baby di sini, kita periksa dulu.” Aku pergi ke satu katil kosong paling dekat. Perlahan Emak letak baby atas katil dan buka kain bedung. Tangisan makin kuat dalam Zon Kuning.

“Alaa baby sayaang. Kesiannya dia merah-merah muka peluh-peluh sini sini sini meh kat Abang Apis meh. Alaa panas? Lapar? Tak dapat cendol? Esok kita beli deh.” Dengan baby pun kena berbasa-basi dahulu sebelum periksa. Bagi dia selesa.

“Hydration still good. Crying with tears. Anterior fontanelle not sunken. CRT less than two.”

Belek-belek tangan dan kaki nak tengok ada ruam atau tidak, nadai. Kemudian baju dibuka mahu tengok perut.

“Abdomen looks distended but still soft. No obvious mass palpable.” Aku komen bagi HeshO dengar nanti boleh tulis dalam triaj, sambil tekan perut baby beberapa kali.

“Tapi slightly distended abdomen can be because of crying. Later we reassess.” Komen lagi supaya tak lupa nak periksa lagi sekali nanti dengan harapan baby akan berhenti menangis kemudiannya.

Aku tekap stetoskop pada dada mahu pastikan tak ada sebarang bunyi yang mencurigakan. Tapi dengan tangisan kuat sebegitu apa sahajalah yang boleh didengar. Asalkan tak ada bunyi wisel cukuplah.

“OK Puan, dukung semula tepuk-tepuk.” Aku bagi semula baby pada emaknya.

Kakak-kakak baju putih yang tadinya tak ada kerja terbongkang tepi meja dah ramai-ramai kerumun tolong pujuk bagi berhenti menangis. Macam dah dalam skrip, mesti ada yang buka henfon cari lagu paling menyakitkan telinga masa di Jabatan Pediatrik dulu – Baby Shark Hit You With That Ddu-du Ddu-du Du. Kau ingat budak umur dua bulan boleh faham lagu tersebut? Penglihatan pun belum betul bagus lagi nak tengok video. Blur-blur masih belum kenal warna.

Macam biasa juga gerombolan kakak-kakak baju putih tersebut bawa aura veteran jaga anak lima orang, tiba-tiba sahaja bayi tersebut berhenti menangis dan tidur. Menakjubkan betul.

Lalu macam biasa lagi sekali selaku dokter yang kerjanya mesti nak kacau baby tidur, aku selak semula baju baby dan tekan beberapa kali sebelum baby menangis balik kena pujuk lagi sekali.

“Soft, dah tak nampak distended.” Sekadar komen biasa sambil kena jeling muka tak puas hati daripada gerombolan perempuan di situ. Sengih sahajalah. Kerja doktor memang buat orang sakit bertambah sakit, nak bagi alasan apa lagi.

“Dah tak menangis nak admit jugak ke Apis? Ke nak discaj bagi balik?” Salah seorang kakak baju putih tanya. Yang lain masih sembang dengan emak bagi beberapa tips memujuk bayi menangis dengan berkesan untuk ibu-ibu muda dengan anak pertama.

Aku masih tak puas hati. Nak discaj kena pastikan semua OK. Nak admit kena tahu kenapa perlu masuk wad.

Bayi tengah tidur aku kira kadar pernafasan seminit. “Fifty. No recession.”

Belek sekilas kertas triaj bahagian vital signs. Bacaan degupan jantung dan oksigen diperhati. “Not tachycardic. SPO2 OK.”

Jari ketuk-ketuk pagar sisi katil. Masih rasa tak sedap. Hati kuat suruh admit tapi kenapa eh? Paling kuat pun mother’s concern, tapi buatnya mak tak nak masuk wad?

“Ibu, baby menangis tiga jam ada bagi susu?”

“Ada. Breastfeeding.”

“Dia menyusu macam biasa atau kurang?”

“Macam biasa. Hisap 20 minit kemudian berhenti kenyang. Tapi sambung menangis.”

Aku garu kepala yang tak gatal. Cari resepi nak goreng dengan eMO pediatrik.

“Oh tapi kali ini dua kali dia menyusu, dua kali susu meleleh keluar sikit lepas saya tepuk belakang. Sebelum ini tak pernah.”

Aku buka mata bersinar-sinar. Tiba-tiba nampak cahaya di hujung terowong.

“Hari ini ada berak?”

“Belum. Kali terakhir berak kelmarin.”

“Ada cirit birit atau taik berdarah kelmarin?”

“Tak ada. Kuning macam biasa.”

“Hari ini ada dengar dia kentut?” Emak angguk mengiyakan tanda masih ada.

“Kita buat satu xray.” Aku suruh HeshO isi borang.

Balik dari Jabatan Radiologi aku ketik butang refresh komputer bertubi-tubi supaya gambar xray keluar dengan laju. Mohon cepat sikit, nak menggoreng tak cukup bahan.

“Dilated bowel.” Akhirnya punca tak sedap hati ditemui. Rasa lega macam minum air lepas berlari marathon.

Aku balik Zon Kuning suruh HeshO pasang branula dan ambil darah. Nanti boleh mulakan drip.

“Ibu, jangan bagi menyusu dulu malam ni. Saya takut usus baby tersumbat. Nanti kita minta doktor Jabatan Pembedahan tengok.”

Aku rujuk Jabatan Pembedahan untuk masuk wad, walaupun penghujungnya pakar bedah tak rasa perlu buat ultrasound abdomen tengah malam buta. Paling merisaukan sebenarnya adalah pengintususupan usus bayi; keadaan di mana satu bahagian usus tergelincir masuk dalam bahagian usus yang lain seperti kita gulung lengan baju, membuatkan usus tersumbat.

Esoknya aku dengar pukul lapan pagi barulah baby tersebut buat ultrasound. Dengan sifat ingin tahu maha tinggi aku cari laporan Jabatan Radiologi;

Pseudokidney appearance over right iliac fossa may represent intussusception. As usual please correlate clinically.

Kan? Jangan main-main dengan naluri keibuan seorang lelaki. Ada sebab kenapa Akak Nurin Najwa itu wujud.

Telah disiarkan melalui Facebook

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain