Minggu lepas jatuh motor.
Sedang elok aku memandu laluan kiri, ada pakcik tunggu nak melintas dari divider tengah-tengah jalan. Aku perlahankan sikit supaya dia boleh melintas, dia masih tercegat di situ.
Bila dah dekat, terus sahajalah dengan anggapan dia tak mahu melintas, tiba-tiba dia berlari lintas dari arah kanan ke kiri. Kononnya cuba tak nak berlanggar, aku mengelak ke kanan dengan harapan sempatlah pakcik sampai ke seberang. Tapi tak sempat elak habis, hendal kiri masih kena bahu lalu aku pun jatuh tersembam sebelah kanan. Macam biasa, tangan kena hulur jatuh dahulu supaya lindung kepala.
Bangkit dari jatuh, benda pertama adalah periksa pakcik tadi. Mujur dia tak tersembam jatuh juga. Cuma sakit sedikit bahu kiri. ROM bahu dan siku OK, pakcik pun tak nak pergi hospital maka dia terus berlalu pergi. Padahal accident tak jauh pun, depan hospital juga. Kemudian dengan selambanya aku angkat Honda Future dan teruskan perjalanan.
“Diana, isi borang xray satu. Aku accident,” benda pertama aku beritahu eMO di zon hijau. Asalnya aku datang nak ambil alih syif beliau, tengok-tengok aku sendiri jadi pesakit. Teruskan dengan xray kerana aku boleh rasa sakit kali ini tak sama dengan pengalaman sakit jatuh motor berkali-kali sebelumnya.
Hasilnya, closed fracture base of right third, fourth, fifth metacarpal.
Terus sahaja angkat telefon panggil ortho. Bagi mereka buat volar slab dan temujanji klinik. Merasa jugalah kegatalan Plaster of Paris yang selama ini cuma dengar sahaja daripada pesakit.
“Hello Yui, aku nak refer diri sendiri.” Kemudian kami sama-sama gelak di telefon.
Dia balas, “Wei trauma green zone banyak betul hari ini sampaikan eMO sendiri patah tangan.”
Jujurnya malas nak MC. Tapi tangan kanan tangan dominan, bagaimana nak menulis? Sini bukan sistem komputer.
Lain-lain tak ada masalah. Masih boleh buat ultrasound dan baca ECG, aku rasa tak layak MC kerana anggota lain boleh buat kerja macam biasa.
Pengalaman kali ini ajar dua benda;
Satu, pesakit trauma bagilah MC sampai hari esok walaupun cuma soft tissue injury. Hari jatuh tak sakit langsung siap boleh jaga zon hijau empat jam. Ke sana ke sini dengan arm sling sampai pesakit pun bingung siapa doktor sekarang ni? Adrenalin punya angkara. Esoknya menangis dua titik air mata sebab otot kejang dan timbul rasa sakit tempat lain.
Dua, Tramadol tak adalah hebat sangat. Dos PRN tak membantu langsung. Kena makan dua tiga dos berterusan baru rasa kesan tahan sakit.
Follow up hari ini boleh terus rawatan konservatif. Tak perlu operasi. Ada displacement sikit, tapi knuckle height OK, angulation pun acceptable.
MC seminggu dah bosan, macam manalah hidup MC lagi dua minggu sampai temujanji seterusnya. Dr Kuroda tangan kanan kena amputate masih boleh kerja, apalah sangat patah metacarpal.
Tak apalah, yang penting kena minum susu kalsium dan pagi-pagi pergi jalan di taman bina vitamin D. Kena sembuh betul-betul. Selepas ini masih mahu intubate dan CPR guna tangan kanan.
Aku pun dah geram tengok motosikal tersadai depan ETD. Gian nak merempit.