“Bosan ke?” Aku tanya sewaktu melintasi katil beliau. Dia cuma angguk.
Pesakit dirujuk dari pedalaman kerana mengandung dengan serviks tak kompeten. Bukaan sudah 9cm pada usia kandungan baru mencecah 20 minggu walaupun tiada tanda bersalin; ketuban belum pecah, perut pun belum sakit.
Buat masa sekarang beliau diarahkan berehat sepenuhnya di atas katil. Kencing berak pun mesti berteman jururawat. Berdiri apatah lagi, dilarang keras ditakuti bayi meluncur keluar dengan jayanya.
Melihat aku menghampiri, beliau menutup buku di hadapannya. Sekilas aku masih nampak buku tersebut merupakan Al-Quran terjemahan saiz sederhana kulit hitam.
“Tak apa, teruskan,” aku bagi isyarat tangan teruskan-pembacaan-tanpa-segan-silu. Beliau teragak-agak membuka kembali kitab suci tersebut.
“Orang cakap, kalau nak anak comel macam saya, baca Surah Yusuf. Jangan baca Surah Maryam, nanti terberanak serta-merta pula malam ini,” sempat lagi aku berdakyah sebelum mahu melangkah meneruskan kerja yang tertangguh.
Beliau masih membelek-belek helaian demi helaian. Mungkin mencari surah yang aku maksudkan. Kitab di tangannya aku capai. Sekilas aku tengok indeks di muka belakang dan terus mencari muka surat 235.
“Bacalah, malam masih panjang lagi.” Aku letak balik kitab tersebut di hadapan beliau. Surah Yusuf terbuka luas.
“Saya sebenarnya tak berapa pandai baca al-Quran.” Akhirnya beliau meluahkan kata yang mungkin beliau mahu zahirkan sejak awal tadi.
Keinsafan sebentar. Dibawa datang dari jauh masih sempat selit kitab suci walaupun belum tentu mampu untuk dibaca. Tapi kami yang tahu membaca, entah di mana letak tercampak mengumpul debu-debu masa.
Telah disiarkan melalui Facebook