“Sebenarnya apa yang buat ibu risau atau curiga dengan suami?”
Kes kali ini rumit.
Ibu bawa anak ke hospital setelah mendapati bahagian kemaluan anak ada kesan merah seolah-olah lebam dan ada luka semasa tukar lampin.
Tak ada orang lain di rumah selain ibu dan ayah. Anak baru umur setahun tidur nyenyak dalam bilik bersama ayah petang tadi sementara ibu di tingkat bawah memasak dan buat kerja rumah.
“Saya rasa suami saya pelik. Dia suka bersendirian dengan anak dalam bilik. Kalau saya ada bersama dia mesti suruh pergi masak atau buat air.”
Ini bukan kali pertama. Sebelum ini sudah perasan tapi diabaikan kerana beranggapan merah ruam lampin. Dibuang jauh-jauh syak wasangka. Lagi-lagi anak pertama, belum betul berpengalaman lagi. Tak pernah pula dia nampak suami buat benda bukan-bukan depan mata.
Apatah lagi doktor sakit puan tadi buat pemeriksaan tiada kesan luka yang mencurigakan pada vagina si anak. Sebal. Seolah-olah ibu tersalah buat keputusan melulu.
“Dah buat laporan polis?”
“Belum. Saya datang mahu periksa dahulu sebelum buat laporan. Takut salah sangka.”
Ya, kita faham dilema ibu. Kalau betul buruk perangai bapa, hubungan anak beranak akan terjejas. Kalau salah terfitnah bapa, hubungan anak beranak masih terjejas. Tak akan sama seperti sebelum ini.
Digenggam takut mati, dilepaskan takut terbang.
“Begini sahajalah ibu. Kalau risau dan curiga, buat sahaja laporan polis. Pihak hospital cuma mampu periksa sahaja, siasatan menyeluruh polis akan buat. Kami tak akan cakap tindakan ibu betul atau salah.”
Apa sahaja yang kita mampu buat? Sekadar pemeriksaan doktor hanya mampu mengesahkan ada kesan penetrasi kemaluan atau tidak sahaja. Kalau main dengan tangan? Kalau oral? Bukan kami yang mampu mengatakan ya atau tidak.
Kebenaran itu tetap dalam tangan Tuhan. Berapa kali naluri seorang ibu mengatasi segalanya?
“Tak apalah Hafiz. Kita admit dahulu, nanti I explore further story dalam ward.” Pediatrik bagi keputusan setelah dua jam.
Sebarang kes melibatkan keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak, atau jenayah seksual kita bawa ke One Stop Crisis Center (OSCC). Kami bantu buat pemeriksaan, bagi rujukan ke jabatan-jabatan terlibat, serta bagi bantuan sokongan emosi dan perlindungan jika diperlukan. Semua aduan kita ambil serius walaupun ceritanya ada keraguan.
Mudah-mudahan Allah permudahkan. Kita nak yang terbaik untuk semua orang.