Ceramah Kawalan Jangkitan

Pintu pantri dibuka. Kakak baju biru sedang menikmati makan malam dengan jururawat yang lain.

“Hafiz, jom makan. Lauk petang ini banyak lagi.” Sister menunjukkan hidangan di atas meja. Nasi minyak, ayam masak merah, daging kicap, kari kambing, burger lembu, ayam KFC, kambing bakar, sotong sumbat, laksa sarawak, umai, tembikai, jus buah kundur menanti untuk dibaham.

“Letihlah Sister. Sejak pagi ke hulu ke hilir, saya dah tak tahu apa yang terjadi dalam wad sekarang ini,” saya mengadu nasib sebaik sahaja duduk di kerusi yang dihulurkan salah seorang jururawat di situ. Muka disembamkan atas meja.

“Tak apa. Syif awak dah habis kan? Balik nanti rehat cukup-cukup.”

“Itulah. Semalam saya balik terus pengsan. Sedar-sedar dah pukul 3 pagi kena bangun siap nak pergi kerja semula.” Saya buat muka kesian minta penampar.

“Sempat mandi tak?”

“Tak sempat pun. Terus tersungkur rebah pengsan atas lantai ruang tamu bila sampai di rumah.”

“Baju pun tak sempat tukar?” Tanya Sister lagi.

Saya cuma mengangguk. Sekali sekala bermanja dengan Sister seronok juga.

“Mana boleh begitu. Awak balik dengan kuman TB, MRO, CRE, Salmonella, Hepatitis, HIV, Denggi, Zika, Ebola selamba tak mandi terus bergolek atas lantai. Kalau dah kahwin beranak pinak boleh berjangkit kepada anak-anak tahu?”

Lalu episod Bersamamu petang itu bertukar menjadi sesi ceramah Kawalan Jangkitan.

Telah disiarkan melalui Facebook

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain