Sesak Nafas Terlebih Air

“Wah, hosmen nowadays so free boleh lepak eh? During my time, ke hulu ke hilir tengok pesakit,” eMO UD44 melangkah mendekati gerombolan hosmen di meja Zon Kuning.

“Bukanlah bosku. Baru pukul 7 pagi, semua rakyat Malaysia tengah bersiap pakai mekap lagi sebelum datang salah guna Jabatan Kecemasan,” hosmen zaman sekarang menjawab.

“Hah, itu seorang dah sampai,” ujar eMO UD44 melihat seorang makcik masuk ke lobi asma. Tercungap-cungap menggapai nafas.

Salah seorang hosmen terkedek-kedek pergi mendapatkan makcik tersebut. Stetoskop ditekap beberapa kali pada bahagian dada.

“Asma ke?” Tanya eMO UD44 mendekati mereka berdua.

Generalized rhonchi boss,” sambil dia mendapatkan nebulizer di meja.

“Makcik, ada asma ke?” eMO UD44 bertanya.

“Tak ada,” sepatah sepatah beliau menjawab. Laju betul, tak ada sela antara nafas. 40 kali seminit?

“Ada pakai pam ke? Warna biru? Coklat ke?” Stetoskop ditekap pada dada bahagian belakang.

“Tak ada,” makcik menjawab lagi.

eMO UD44 membongkok, kaki makcik ditekan-tekan. Kembang sampai ke kepala lutut.

“AVN ke bosku?” Hosmen di meja ubatan masih menunggu arahan. Kalau asma dia mahu bagi neb.

“Tak payah, bukan asma rasanya ni. Bawa pergi Zon Merah. Kita CPAP-kan makcik ni,” eMO UD44 bagi arahan. Kad klinik tebal di tangan makcik dicapai. Hosmen cuma angguk sambil pimpin makcik ke ruang sebelah.

Red zone, upgrade satu patient!

Pagar katil yang masih kosong diturunkan. Makcik perlahan-lahan duduk di katil tersebut. Hosmen mencapai troli branula. Sementara kakak baju putih pasang kaf tekanan darah di lengan kanan.

Set line. Ambil FBC, BUSE, ABG sekali. ECG jangan lupa. Nanti hantar borang xray dada mudah alih. Bagi IV frusemide 40mg stat.” Laju eMO UD44 bagi arahan sambil hosmen terkial-kial cari urat darah di tangan kiri.

“Kak, nanti pasang CBD. Strict input output.” Kakak baju putih angguk faham.

BP 222/111. Pulse 140. SPO2 90% room air.” Bacaan di monitor mesin diulang baca. Kemudian kakak baju putih menekan setting supaya bacaan tekanan darah diambil setiap 15 minit.

OK noted,” tanda eMO UD44 dengar maklumat tersebut. Kad klinik makcik tersebut dibelek-belek. Ada dokumentasi darah tinggi, penyakit kolesterol, lemah jantung. Data ECHO tahun lepas ditemui. Ejection fraction 30%.

“Makcik, nanti kita pasang oksigen yang kuat sikit, bantu makcik bernafas. Bagi dia tolak air dalam paru-paru keluar, OK? Lepas tu kita bagi ubat kencing, pasang tiub kencing sekali,” eMO UD44 menjelaskan secara ringkas. Kotak CPAP dibuka. Salur A dan B dipasang pada port oksigen.

“Sesak nafas dah berapa hari makcik?”

“Sejak pencemaran… Sungai Kim-kim,” pendek-pendek makcik menjawab.

“Saya tanya berapa hari. Pencemaran Sungai Kim-kim tu dah bertahun sejak PM ke-4.” CPAP dipasang pada bahagian muka. Oksigen dihidupkan.

Makcik cuma angkat tiga jari.

“FiO2 50%, PEEP 5.” eMO UD44 memberitahu kakak baju putih. Nilai tersebut dicatat pada kertas triaj Zon Merah.

“Doktor ada cakap jangan minum air banyak kan? Botol besar ke botol kecil?” Tangan digayakan supaya mudah faham. Pesakit yang dipasang CPAP susah untuk dengar dan jawab soalan. Makcik tersebut buat gaya botol kecil menggunakan kedua belah tangannya.

“Mesti minum lebih kan? Tak payah tipu, saya tahu.” Pesakit lemah jantung selalunya akan dilarang minum air berlebihan. Sehari tidak boleh lebih 500ml. Kalau tidak, air akan terkumpul di paru-paru dan kaki, menyebabkan sesak nafas dan kaki kembang.

Tapi siapa tahan kalau sehari cuma boleh minum satu botol mineral kecil? Tambahan pula cuaca panas kesan rumah hijau hasil pembalakan di Kelantan sekarang ini. Hosmen sahaja yang mampu rasanya. Kadang-kadang sehari tak minum langsung adalah rutin biasa mereka.

Hosmen tadi berlari-lari dengan dua helai kertas di tangan. Satu FBC manakala satu lagi ABG. Nilai pada kertas dihadam.

“OK. Nanti recheck BP, kalau masih tinggi start IVI GTN.”

Papan putih bertulis senarai eMO bertugas hari ini dijeling-jeling. Mahu tengok siapa eMO atas panggilan Jabatan Perubatan. Kalau malignant, bagi hosmen sahaja yang telefon kena maki.

Ibarat lilin, terbakar dipijak jiwa raganya. Salah ubat salah indent, salah tulis hosmen belaka.


Rujukan:

  1. Forgot-to-Pee Syndrome Afflicting Millions of Health Care Workers. GomerBlog. January 2015
  2. Fighting For My Home Kelantan. Feb 2017
  3. Acute Decompensated Heart Failure. John A. Galdo; Ashlee Rickard Riggs; Amy L. Morris

Telah disiarkan melalui Facebook

Author: Hafiz Adam

MBBCh (Cairo) | BPnP (Cairo) | Pegawai Perubatan selalu kena maki | Kaki drama Asia | Beli buku untuk simpan | Blog tempat membebel sorang-sorang

Komen di sini, bukan di tempat lain