Petang itu aman damai. Waktu melawat yang dipenuhi sanak saudara dan rakan-rakan pesakit.
Saya sedang meneliti nota kes pesakit apabila tiba-tiba terdengar jeritan dari kubikel akut. Spontan perhatian semua manusia dalam wad sepanjang lapan kubikel itu beralih ke arah kubikel tengah yang bersebelahan kaunter jururawat.
Di situ berdiri seorang pesakit yang sejak pagi tadi baring tidur nyenyak, kini bercekak pinggang memerhati manusia-manusia di hadapannya. Darah yang menitis dari lengan kanan hasil branula yang tercabut tidak dihiraukannya.
“Apa tengok-tengok? Mahu apa?” Meja kardiak di sebelahnya ditampar-tampar.
Pesakit-pesakit lain dalam kubikel akut sudah mula buat muka cuak. Tidak berani memandang terus, ditakuti menjadi provokasi untuk beliau bertindak lebih ganas.
Beliau memerhati sekeliling dan ketawa berdekah-dekah. Kemudian mula bercakap seorang diri. Halusinasi.
Dalam suasana tegang itu seorang jururawat perempuan menuju ke arah beliau dengan carta Nursing di tangannya.
“Encik Hannah, tahu tak encik di mana sekarang?” Tak dijawab. Langsung tidak dihiraukan jururawat di sebelahnya.
“Boleh baring semula di katil encik?” Belum putus asa. Tubuh kecil tapi berani. Betul-betul ‘misi sado.’ Tambah kagum lagi apabila beliau terus berada di situ hingga sekuriti tiba.
“Apa boleh buat Hafiz, akak kena tulis carta GCS dia,” sambil muka nak menangis.
Telah disiarkan melalui Facebook